Sunday, January 22, 2012

Ujian Saringan G6PD (Glucose 6 Phosphate Dehydrogenase)

Ujian ini amat penting bagi mengesan kekurangan enzim G6PD dalam 'hereditary haemolytic anemia'. Kekurangan enzim ini adalah suatu penyakit yang diwarisi kerana enzim G6PD di kawal oleh gen pada satu lokus di kromosom 'X'. Pesakit yang mengalami kekurangan enzim G6PD akan menjadi anemia apabila terdedah kepada bahan-bahan yang boleh menyebabkan sel darah merah mereka 'pecah' (hemolisis) contohnya seperti ubat gegat naftalena, tumbuhan kekacang (kacang parang) dan ubat anti-malaria.

Definisi :

G6PD : Suatu enzim yang memangkinkan tindakbalas dalam proses pemecahan glukosa (glikolisis) dalam keadaan beroksigen bagi menghasilkan tenaga.

Hemolitik anemia : Anemia adalah keadaan di mana berlaku kekurangan pada sel darah merah atau hemoglobin. Hemolitik anemia adalah sejenis anemia di mana sel-sel darah termusnah sebelum matang.


Prinsip Ujian : Enzim Glucose-6-phosphate dehydrogenase (G6PD) memangkinkan tindakbalas pengoksidaan glucose-6-phosphate (G6P) menghasilkan 6-phosphogluconate (6PG) seperti berikut :

G6P + NADP -------> 6PG + NADPH

Ini diikuti dengan pengoksidaan 6PG yang dimangkinkan oleh enzim 6-phosphogluconate dehydrogenase menghasilkan ribulose-5-phosphate (Ru5P) seperti berikut :

____________6PGD
6PG + NADP --------> Ru5P + CO2 + NADPH

Kaedah 'Beutler and Mitchell' digunakan untuk mengesan kehadiran NADPH dalam lysate sel darah yang akan bersinar (fluoresces) di bawah cahaya UV berjarak gelombang panjang (long-wave UV light). Dalam keadaan kekurangan enzim G6PD atau aktiviti enzim 20% kurang daripada aktiviti normal, NADPH yang terhasil tidak cukup untuk menyebabkan fluorescence ( cahaya bersinar di dalam gelap).

Kelihatan lysate sel darah yang akan bersinar di bawah cahaya UV menunjukkan kehadiran enzim G6PD yang normal manakala yang tidak bersinar menunjukkan kekurangan enzim terbabit.

Prosedur Ujian :

1) Larutan kerja disediakan dengan mencampurkan 1 vial substrat dengan 25 ml larutan buffer. Larutan kerja yang disediakan adalah stabil selama 28 hari apabila disimpan pada suhu 4°C. Larutan kerja yang telah disediakan perlu dibiarkan pada suhu bilik sebelum digunakan.

2) Kertas turas @ 'filter paper' yang terdapat darah spesimen yang telah kering ditebuk di atasnya (3-5 mm diameter lebar) dan masukkan filter paper yang telah ditebuk tadi ke dalam tabung uji yang mengandungi 100 mikroliter larutan kerja.

3) Untuk kawalan kualiti, masukkan 5 mikroliter 'deficient control' dan 'normal control' masing-masingnya ke dalam taabung uji yang mengandungi 100 mikroliter larutan kerja.

4) Eram tabung uji yang mengandungi spesimen pesakit dan bahan kawalan pada suhu 37
°C dalam inkubator selama 10 minit.


5) Ambil 10 mikroliter dari setiap tabung uji dan letakkan di atas kertas G6PD yang disediakan dan keringkan dengan pengering rambut.

6) Lihat kertas G6PD yang telah kering di bawah cahaya Ultra Violet(UV) dan perhatikan cahaya fluorescence (jika ada), keputusan ujian adalah seperti berikut :


NORMAL
Jika ada cahaya fluorescence di bawah cahaya UV yang menunjukkan pesakit adalah normal atau mengalami sedikit kekurangan enzim G6PD.

DEFICIENT
Jika tidak menunjukkan apa-apa perubahan selepas 10 minit di bawah cahaya UV yang menunjukkan pesakit mengalami kekurangan enzim G6PD.

INTERMIDIATE
Jika menunjukkan sedikit perubahan tetapi tiada cahaya 'fluorescence' selepas 10 minit di bawah cahaya UV.

FALSE NORMAL
Dalam kes 'reticulocytosis', 'fluorescence' yang jelas akan kelihatan walaupun pesakit kekurangan enzim G6PD kerana sel darah muda mempunyai aktiviti yang lebih dan ini akan memberikan keputusan false normal.

FALSE NEGATIF
Bagi pesakit anemia, terdapat sedikit 'fluorescence' terjadi walaupun pesakit normal kerana bilangan sel darah merah yang kurang dan ini akan memberikan keputusan false negatif.

7) Ulangi langkah 5 dan 6 jika keputusan ujian adalah 'intermidiate'. Jika keputusan masih sama, minta sampel kedua pesakit.