Sunday, March 1, 2015

Sandokan - The Tiger of Malaysia




Seorang novelis berbangsa Itali bernama Emilio Salgari pernah menulis satu novel dibawah kategori fiksyen yang berjudul “Sandokan” sekitar tahun 1849. Novel ini diterbitkan secara berjilid-jilid dan jualannya umpama pisang goreng panas di benua Eropah suatu waktu dahulu. Novel ini juga diangkat menjadi satu filem animasi berjudul “Sandokan” dan sehingga sekarang filem animasi ini sentiasa memenuhi ruang tayangan di stesen-stesen tv di seluruh dunia termasuk Malaysia. Siapakah Sandokan ini sehingga membenarkan seorang bangsa Eropah mengangkatnya sedemikian rupa? Inilah artikel untuk kali ini kerana hakikatnya Sandokan bukanlah seorang individu yang diterbitkan dari imaginasi seorang penulis novel TETAPI Sandokan adalah seorang anak jati bangsa Sabah yang gah namanya di Pulau Borneo suatu waktu dahulu.

Emilio Salgari
Sandokan adalah pemuda dari etnik Sungai iaitu salah satu masyarakat pribumi Sabah dan dilahirkan di sebuah perkampungan bernama Kampung Melapi iaitu sebuah perkampungan di tepi Sungai Kinabatangan, Sabah. Ayah beliau bernama Maringgan dan juga di dalam bahasa sungai juga digelar dengan jolokan “Taribong Mandok Awan” yang bermaksud “Harimau Terbang”. Digelar sedemikian rupa kerana ayah Sandokan ini bukanlah calang-calang orangnya iaitu penuh ilmu di dadanya samada di dalam tingkah peperangan darat mahupun lautan. Maringgan adalah tokoh yang amat dihormati di kawasan sekitar Sungai Kinabatangan dan Sandokan mewarisi pangkat Ketua Kampung Melapi itu daripada ayahnya dan kerana akrabnya Sandokan dengan ayahnya maka banyaklah ilmu perang yang diwariskan kepada Sandokan.


Dan kerana itu juga Sandokan mendapat jolokan yang sama seperti ayahnya iaitu “Taribong Mandok Awan”. Ibu Sandokan bernama Adoran juga anak Sungai dan perkahwinannya dengan Maringgan dikurniakan dengan 5 orang anak lelaki iaitu Kasannudin, Paid, Manggi, Sandokan dan Pagkon. Pejuang anak Sungai yang gah namanya di bumi Sabah suatu waktu dahulu iaitu Pengiran Digadong Sammah bin Pengiran Ebey merupakan keturunan secara langsung kepada Sandokan. Pengiran Sammah adalah anak Sungai yang bangun menentang penjajahan British North Borneo di Kinabatangan sehingga dihukum mati oleh pemerintah British North Borneo pada 12hb Februari 1884.

Keluarga Sandokan adalah antara keluarga etnik Sungai yang berpengaruh di Kinabatangan kerana secara azalinya mereka adalah keluarga yang kaya raya hasil daripada perniagaan keluarga iaitu sarang burung. Keluarga Sandokan sehingga sekarang dikatakan masih lagi mewarisi perniagaan sarang burung di kawasan sekitar Gua Gomantung. Kerana berkuasanya keluarga Sandokan di situ sehingga membenarkan mereka mempunyai kawasan perkuburan yang dikhaskan untuk keluarga mereka satu kawasan di Gua Gomantung. Kawasan perkuburan ini dijaga baik sehingga ke hari ini oleh waris-waris keluarga Sandokan. Kehebatan Sandokan di dalam perniagaan sarang burung serta memperjuangkan kebatilan di bumi Kinabatangan tersangat gah sehingga beliau menjadi kebencian kepada British North Borneo. Inilah antara ceritera kehebatan individu yang digelar oleh bangsa Eropah sebagai “lanun” sedangkan hakikatnya beliau merupakan pejuang tempatan bangsa Sabah suatu waktu dahulu.

Kehebatan Sandokan bukan sahaja di bumi Kinabatangan tetapi juga beliau telah banyak menabur bakti di sebuah kerajaan negeri yang pernah berada di bumi Sabah suatu waktu dahulu iaitu Kerajaan Marudu. Sandokan merupakan sahabat baik kepada pemerintah Kerajaan Marudu iaitu Syarif Osman. Sekitar awal tahun 1800M Kerajaan Marudu dibawah kepimpinan Syarif Osman merupakan sebuah kerajaan yang kaya raya baik dari segi ekonomi dan social kerana lokasinya yang strategic untuk sesiapa sahaja datang berniaga. Pada ketika itu British North Borneo tidak senang dengan kebolehupayaan Kerajaan Marudu di bawah pentadbiran Syarif Osman kerana ianya menganggu perluasan kuasa mereka di bumi Sabah pada waktu itu. Syarif Osman yang mendapat khidmat sepenuhnya oleh Sandokan telah gah namanya sehingga ke Sulu di Filipina malah mereka juga telah menguasai kawasan sempadan samada lautan mahupun daratan pada masa itu.



Kemuncak keagungan Kerajaan Marudu adalah apabila pada Ogos 1845, Kerajaan Marudu dibawah pimpinan Syarif Osman dengan Sandokan sebagai tulang belakangnya telah berperang dengan tentera British North Borneo yang juga dibantu oleh James Brooke dari Sarawak Kingdom. Dengan bala tentera yang ramai ditambah lagi dengan penggunaan kapal sekonyer daripada James Brooke menyebabkan akhirnya Syarif Osman dibantu Sandokan kalah di dalam peperangan tersebut. Apabila kalah, Sandokan dan Syarif Osman telah berundur ke Pulau Kuraman (Momprachem).

Ketika di Pulau Kuraman, Sandokan telah membina kubu dan di sinilah Sandokan dengan tenteranya yang terdiri daripada anak watan Sabah yang lain telah meningkatkan operasi menyerang balas kepada penjajahan British North Borneo di Sabah serta turut menyerang mana-mana kerajaan negeri di Sabah pada waktu itu yang bersekongkol dengan British North Borneo. Menurut cerita dikatakan British North Borneo berang dengan tindakan Sandokan telah bertindak menyerang perkampungan Sandokan di Melapi, Kinabatangan sehingga menyebabkan ramai keluarganya telah berhijrah keluar daripada Kinabatangan dan merekalah antara penduduk awal yang mendiami Sandakan, Sabah sekarang malah nama Sandakan itu sendiri diberi berdasarkan kepada nama Sandokan.


Berang dengan kejadian yang menimpa keluarganya, Sandokan berserta Syarif Osman yang di dalam buangan semakin merancakkan penentangan mereka. Kekuatan bala tentera Sandokan ini juga dibarisi oleh pelaut daripada bangsa Portugis iaitu Yanez de Gomera dan Tremel-Naik dari Benggala. Dengan gabungan inilah Sandokan berperang di laut dengan tentera British North Borneo dan James Brooke dan setiap bahtera Sandokan akan dinaikkan bendera peribadi Syarif Osman dari Kerajaan Marudu iaitu bendera merah harimau. Dan kerana itulah Sandokan dilabelkan sebagai Lanun bagi British North Borneo dan James Brooke sedangkan hakikatnya Sandokan adalah pejuang tempatan bangsa Sabah yang bangun menentang penjajahan mereka.




Inilah sekelumit sejarah Sandokan iaitu individu yang dilabelkan oleh bangsa Eropah sebagai Lanun di dalam novel Sandokan oleh seorang novelis berbangsa Itali iaitu Emilio Salgari. Lebih memeritkan lagi di dalam novel terkenal itu Sandokan dikatakan adalah rekaan semata-mata sedangkan Sandokan itu wujud sebenarnya di bumi Sabah. Sudah menjadi lumrah bagi bangsa Eropah melabelkan sesiapa penentang mereka sebagai lanun seperti juga Rentap Libau, bangsa Sarawak dari etnik Iban yang dilabelkan sebagai lanun oleh pemerintahan James Brooke di Sarawak Kingdom. Sandokan, bangsa Sabah dari etnik Sungai juga mendapat nasib yang sama.

Sejarah ini sengaja digelapkan daripada pengetahuan kita sebagai rakyat Malaysia amnya dan Sabah Sarawak khususnya kerana tidak mahu kita mengetahui sejarah sebenar kita sendiri sedangkan suatu waktu dahulu kita juga pernah ada pahlawan yang terbilang yang bernama Sandokan “The Tiger Of Malaysia”.


sumber :


http://en.wikipedia.org/wiki/Sandokan
http://syakilrizkullah.blogspot.com/...of-borneo.html
http://www.imdb.com/title/tt0074050/
http://www.amazon.com/Sandokan-Pirat.../dp/0978270738
http://www.cindyvallar.com/sandokan.html