Sunday, March 1, 2015

Sejarah Batu Arang



TAPAK pembakaran Pasu Arang Batu yang masih kekal di Pekan Warisan Batu Arang. - Foto Zunnur Al Shafiq

RAWANG - Kewujudan pekan Warisan Batu Arang terletak di Rawang, Selangor menyimpan pelbagai kisah sejarah yang hari ini masih tersimpan di pekan berusia seabad itu.

Lokasi paling mendapat perhatian penulis di pekan ini ialah sekitar kilang batu-bata Brik Klin.

Kilang berusia hampir 100 tahun dan terletak berhampiran pusingan bulatan dalam pekan ini menyimpan pelbagai cerita misteri dan segelintir penduduk pernah mengalami gangguan atau kejadian misteri.

Penduduk yang hanya dikenali sebagai Raja, berkata penghijrahan beliau ke pekan Warisan Batu Arang sejak 30 tahun lalu mendakwa kawasan kilang ini paling banyak berlaku kejadian misteri seperti suara bayi menangis, kemunculan lembaga hitam berambut panjang dan susuk tubuh tanpa kepala.

Katanya, pernah individu yang mengambil pasu tanah liat untuk simpanan peribadi meracau-racau hingga demam dan kemudian atas nasihat pengamal perubatan tradisional memulangkan pasu terbabit, beliau akhirnya pulih seperti sedia kala.

"Kisah lain ialah kumpulan penggambaran filem seram berkisarkan hantu raya yang melakukan filem di sekitar kilang ini lari lintang pukang apabila hantu terbabit muncul di lokasi terbabit

"Kisah terbaharu yang diceritakan iaitu penggambaran mengenai filem ular yang mana seorang wanita memegang reptilia terbabit terkejut apabila ular seakan sama muncul berhampirannya," katanya sambil menasihatkan agar pengunjung tidak bermulut celupar ketika berada di kawasan ini.

Penulis sendiri berada di pintu rumah pembakaran arang batu yang masih kukuh, tetapi dilitupi akar pokok jawi turut berasa seram apabila melihat kawasan terbabit seolah-olah 'berpenghuni' selepas ditinggalkan begitu lama.

Pekan Batu Arang bermula dari sebuah perkampungan kecil dan dikelilingi hutan sehingga penemuan batu kecil berwarna hitam oleh Haji Abdul Hadi berasal dari Batang Berjuntai (kini dikenali Bestari Jaya) ketika mencari pokok rotan tahun 1908, Pekan Warisan Batu Arang pernah mencapai zaman gemilangnya selepas itu.

Kisah Bukit Emas Mini ini diceritakan oleh Setiausaha JKKK Batu Arang, Ahmad Rafie Yob, 65, ketika ditemui penulis untuk menyingkap asal usul pekan ini yang mendapat nama sebagai kawasan perekonomian terpenting di Selangor tahun 1913 hingga 1930-an.

Menurutnya, pembabitan syarikat dari British iaitu Foundation of Malayan Collieries Limited yang mengusahakan arang batu giat dijalankan selepas Sekretariat Geologi Persekutuan J.B Searreno yang mengkaji batu hitam hasil penemuan Haji Abdul Hadi yang mengesahkan mineral terbabit mampu membawa pulangan tinggi jika dikomersialkan.

Sekitar tahun 1913, J A Russell bertanggungjawab mengusahakan lombong arang batu. Beliau mengupah pekerja dari China dan India bekerja di lombong, selain penduduk tempatan.

Pekerja ini dikawal selia oleh pegawai British yang menetap di banglo di atas Bukit Nanas dan kerja mereka ialah merancang kawasan dan pembinaan infrastruktur untuk pembangunan dan laluan kereta api bagi kemudahan aktiviti melombong arang batu di sini ketika itu.

Sekitar tahun 1915-1930, industri arang batu di pekan ini semakin berkembang pesat apabila teknologi British yang menggunakan kereta lembu digantikan dengan kereta api.

Selepas itu, rumah udara (Air Shaft) dibina untuk pengaliran udara dalam terowong, pembinaan kilang batu-bata Brick Klin untuk aktiviti perlombongan.

Hasil perlombongan ini, sebanyak 15.5 juta tan arang batu dikumpul dan pendapatan RM163.3 juta berjaya diperoleh dengan penjualannya meskipun hanya diniagakan di Tanah Melayu sahaja pada masa itu.

Hasil daripada pendapatan ini, beberapa industri pertanian seperti pembukaan ladang getah dan ladang pokok teh di Cameron Highlands diusahakan bagi menambah pendapatan sedia ada syarikat itu.

Ahmad Rafie yang juga pesara Kejuruteraan Tentera Udara diraja Malaysia (TUDM) menambah, terdapat dua kaedah melombong arang batu di pekan ini dan antaranya ialah melombong di permukaan tanah (open cast) dan terowong dalam tanah.

Terdapat 11 kawasan lombong terbuka diusahakan pada zaman itu manakala kira-kira 600 meter terowong sedalam 304.8 meter berselirat dikorek dan dibina bawah tanah Pekan Batu Arang untuk kerja melombong arang batu.

"Hari ini terdapat pintu masuk terowong yang masih boleh dilihat manakala terowong dalam tanah tidak boleh dimasuki pengunjung kerana dipenuhi air," katanya.

Meskipun begitu, zaman kegemilangan perlombongan arang batu tidak bertahan selamanya apabila sekitar tahun 1936 hingga 1959 berlaku permasalahan besar arang batu apabila permintaannya semakin merosot kerana penggunaan minyak diesel.

Ketika itu, berlakulah peristiwa bantahan pekerja yang melancarkan mogok. Selepas itu, berlaku pencerobohan tentera Jepun di Tanah Melayu dan serangan pengganas komunis di kawasan perlombongan menyebabkan aktiviti ekonomi di situ semakin terjejas teruk.

Sekitar tahun 1960, Syarikat Malayan Collieries Ltd terpaksa menutup kawasan perlombongan terbabit kerana menanggung kerugian yang teruk dan hari ini beberapa kesan tinggalan seperti kilang batu-bata Brick Klin, rumah udara (Air Shaft), pintu depan terowong, bekas stesen dan landasan kereta api, Pekan Cina dan Rumah Putih (bekas rumah keluarga pegawai British) boleh dikunjungi pengunjung.


Kronologi Pekan Warisan Batu Arang

-1908: Penemuan arang batu oleh Haji Abdul Hadi.

-1913: Penaung Malayan Collieries Limited J A Russell mengusahakan lombong arang batu dengan 5,000 pekerja.

-1915: Pembinaan landasan kereta api Kuang-Batu Arang dan pembangunan sekitar Batu Arang.

-1930: Pekan Arang Batu menjadi pusat perekonomian terpenting di Tanah Melayu.

-1936-1 937: Pelancaran mogok oleh pekerja lombong di atas pengaruh Marxist Lenin pada 1936 mebabitkan 6,000 orang buruh.

-1942-1945: Penjajahan tentera Jepun ke atas tanah Melayu termasuk lombong arang batu.

-1948-1960: Pengganas komunis mensabotaj lombong arang batu hingga digelar `kawasan hitam'.

-1960: Malayan Collieries Limited ditutup kerana sumber minyak diesel mengambil alih industri arang batu.


INFO

-Mendapat pengiktirafan Pekan Warisan Batu Arang tahun 2011.

-Perancangan untuk mendapatkan pengiktirafan sebagai Bandar Bersejarah.

-Terdapat 22 lokasi boleh dikunjungi. Antaranya Bekas Kelab Sukan Pekerja Lombong dan Tapak Tinggalan Kilang Batu Bata.

-Menjadi lokasi penunggang basikal lasak berkumpul di pekan ini setiap minggu.

-Penduduk terdiri daripada Melayu, Cina dan India.

-Menjadi lokasi memancing air tawar di kolam berbayar dan bekas lombong arang batu.






Sumber : http://www.bharian.com.my/node/37751