Tuesday, August 23, 2011

Ujian fungsi hati @ Liver Function Test(LFT)

Ujian fungsi hati atau ‘liver function test(LFT)’ adalah ujian darah biokimia berkelompok yang direka untuk memberikan maklumat tentang keadaan hati pesakit. Parameter yang ditaksir adalah seperti PT/INR/aPTT, albumin, bilirubin(langsung dan tidak langsung). transaminases(AST/ALT (SGOT/SGPT)) adalah enzim yang tidak termasuk dalam ujian fungsi hati, tetapi enzim ini bertindak sebagai ‘biomarker’ atau menanda kepada kerosakan hati.

Ujian ini memerlukan serum atau plasma sebagai spesimen yang diperoleh dari darah pesakit. Darah pesakit diempar pada kelajuan dan masa yang telah ditetapkan bagi mengasingkan serum dan sel darah merah. Enzim yang dikesan dan ditakrif adalah seperti :

1. Alanine transaminase (ALT)

Alanine transaminase(ALT) juga dikenali sebagai Serum Glutamic Pyruvate Transaminase (SGPT) atau Alanine aminotransferase (ALAT) adalah sejenis enzim yang hadir di dalam hepatosit(sel hati). Kerosakan sel hati boleh menyebabkan enzim ini terbebas ke dalam darah di mana ianya ditaksir. Peningkatan enzim ini secara mendadak di dalam darah menunjukkan kerosakan hati akut seperti ‘viral hepatitis’ dan ‘paracetamol (acetamenophen) overdose.Julat normal bagi kehadiran enzim ini di dalam darah adalah 9 hingga 40 IU/L.

2. Aspartate transaminase (AST)

Aspartate transaminase (AST) juga dkenali sebagai serum glutamat oksaloasetat transaminase (SGOT) atau aspartate aminotransferase (ASAT) merupakan enzim yang serupa seperti ALT yang berkaitan ‘parenchymal cell’ hati. Kandungan enzim ini yang meningkat secara mendadak di dalam darah menunjukkan terdapatnya kerosakan hati. Namun, ianya berbeza dengan ALT dimana enzim AST ini juga terdapat dalam sel darah merah, otot jantung dan rangka, oleh itu ianya tidak boleh dikatakan berada di hati sahaja. Nilai yang didapati daripada penaksiran enzim ALT dan AST kadangkala berguna bagi menentukan dalam membezakan punca kerosakan hati. Peningkatan enzim AST tidak spesifik untuk kerosakan hati sahaja, ianya digunakan juga sebagai penanda fungsi bagi otot kardiak jantung. Julat normal bagi kehadiran enzim ini di dalam darah adalah 10 hingga 34 IU/L.

3. Alkaline phosphatase(ALP)

Alkaline phosphatase(ALP) adalah sejenis enzim yang terdapat di dalam lapisan sel hempedu pada hati. Kadar ALP dalam plasma darah akan meningkat disebabkan beberapa punca antaranya adalah ‘intrahepatic cholestasis’. Enzim ALP juga terdapat di dalam sel tulang dan plasenta. Oleh itu, kadar enzim ALP yang tinggi boleh juga ditaksir pada kanak-kanak yang meningkat remaja (dimana tulang-tulang mengalami pertumbuhan) dan pesakit yang sudah berumur yang mengalami penyakit Paget’s. Julat normal bagi kehadiran enzim ini di dalam darah adalah 20 hingga 140 IU/L.

4. Glutamil transpeptidase gamma (GGT)

Enzim ini cukup spesifik dan penanda yang lebih peka terhadap kerosakan ‘cholestatic’ dari enzim ALP. Namun begitu, ianya meningkat dengan nilai yang terlalu kecil akibat kehilangan fungsi hati. Enzim ini juga boleh membantu dalam mengenalpasti penyebab ketinggian kadar enzim ALP dalam darah. Julat normal bagi kehadiran enzim ini di dalam darah adalah 0 hingga 50 IU/L.