Friday, September 28, 2012

Abdul Rahman Talib



Abdul Rahman dilahirkan pada tahun 1916 di Temerloh Pahang. Beliau mendapat pendidikan awal di tempat kelahiran beliau dan kemudian melanjutkan pengajian di Sultan Idris Training College (SITC), Tanjung Malim, Perak. Abdul Rahman memulakan kerjayanya pada tahun 1940 dengan bertugas sebagai guru di Sekolah Abdullah, Kuantan. Selepas hampir lima tahun menjadi pendidik, beliau dilantik menjadi Penolong Nazir Sekolah-sekolah Melayu Pahang pada tahun 1945. Pada tahun 1952, beliau telah mengasaskan Jabatan Hal Ehwal Agama di Jabatan Pelajaran Pahang

Beliau sangat aktif dalam Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) dan selain daripada itu juga merupakan Ahli Bersekutu Majlis Kebangsaan. Pada tahun 1956, beliau telah dilantik sebagai Timbalan Menteri Sumber Alam Semula Jadi dan Kerajaan Tempatan. Beliau telah dilantik menjadi Menteri Pengangkutan pada tahun 1957, Menteri Perdagangan dan Industri pada tahun 1959, Menteri Pelajaran pada tahun 1960 hingga 1962, Menteri Kesihatan pada tahun 1962, dan kembali menjadi Menteri Pelajaran pada tahun 1964. Semasa menjadi Menteri Pelajaran, beliau telah mengemukakan satu laporan yang mengandungi usul dan saranan yang penting untuk memperbaiki sistem pendidikan di Persekutuan Tanah Melayu. Laporan itu dikenali sebagai Laporan Abdul Rahman Talib. Melalui laporan itu beliau memberi penekanan terhadap peningkatan penggunaan Bahasa Melayu dalam sistem pelajaran pada ketika itu.

Di antara saranan yang dikemukan dalam laporan itu mencadangkan supaya Bahasa Melayu dijadikan mata pelajaran wajib selain Bahasa Inggeris. Bahasa Melayu mesti diajar dari darjah satu di semua jenis sekolah rendah dan syarat lulus dalam Bahasa Melayu bagi calon-calon ke sekolah menengah, pusat latihan guru dan memberi insentif kepada guru-guru supaya mendapat kelulusan yang baik dalam mata pelajaran Bahasa Melayu. Pada tahun 1962, Abdul Rahman telah mendapat anugerah Ijazah Kehormat Doktor Undang-undang oleh Universiti Malaya. Ketokohan Abdul Rahman bukan sahaja dalam bidang politik tetapi juga dalam pendidikan. Begitu banyak jasa yang dicurahkan terutama dalam memartabatkan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. Beliau telah bersara pada tahun 1965 dan menghembuskan nafas yang terakhir pada 18 Oktober 1968 di Kaherah, Mesir.


SUMBER