Kota Cornwallis adalah kota lama berbentuk bintang yang terletak ditimur laut Pulau Pinang. Ia didirikan pada tahun 1786, dan dinamakan sempena Gabenor Jeneral India masa itu. Ia dibina oleh Kapten Francis Light pada mulanya dengan menggunakan kayu nibong tanpa binaan kekal yang melitupi kawasan seluas 417.6 kaki persegi.
Pada tahun 1804, kota ini dibina semula dengan batu-bata dan batu dengan menggunakan tenaga buruh tahanan India semasa perkhidmatan Kolonel R.T. Farquhar sebagai Gabenor Pulau Pinang. Kota Cornwallis siap sepenuhnya pada tahun 1810 semasa perkhidmatan Norman Macalister sebagai Gabenor Pulau Pinang dengan kos sebanyak $80,000. Ia bertujuan bagi mempertahankan kepentingan British dari serangan Perancis.
Kini matlamat utama kota ini adalah sebaliknya, ia kini merupakan tumpuan pelancong utama di Georgetown, Pulau Pinang, Malaysia. Pada masa kini ia memiliki galeri sejarah, dan kedai cendera hati. Di dalam kota itu juga terletak meriam Sri Rambai yang merupakan salah satu meriam yang mashyur yang digunakan oleh Francis Light semasa tempoh pemerintahannya di Pulau Pinang.
Meriam ini pada asalnya adalah kepunyaan Syarikat India Timur Belanda, dan jata syarikat tersebut masih jelas tertera pada meriam Sri Rambai itu.
SUMBER